Sunday 4 August 2013

PENANAMAN KENAF DAN KESESUAIANNYA SEBAGAI MAKANAN TERNAKAN



Objektif:
Menanam tanaman kenaf (hibiscus Canabinnus) dan percubaan untuk dijadikan makanan ternakan iaitu untuk lembu pedaging.

Lokasi:
Ladang Ternakan Lembu Laka Temin Silaj Sdn Bhd,
Petak 4, PT 74, Mukim Sg Laka,
06050, Changloon, Kedah

Tarikh Projek:
10 Mac 2013 hingga 31 Mei 2013

Varieti yang digunakan:
KB6 dan V36

Keluaran Mengikut Varieti dan Umur:

Varieti dan Hari Tuaian
Ave. per m2
Ave. per Ha
Hari ke 45
KB6
2.8
28.0 MT/H
V36
2.14
21.4 MT/H
Hari ke 50
KB6
3.26
32.6 MT/H
V36
3.08
30.8 MT/H
Hari ke 55
KB6
3.66
36.6 MT/H
V36
3.52
35.2 MT/H

Untuk hari ke 45,50 dan 55, varieti KB6 didapati menghasilkan lebih pengeluaran atau “yield per Ha” pada kadar 31% (hari ke 45), 6% (hari ke 50) dan 4% (hari ke 55).
Pengiraan menggunakan kaedah kuadrat dan anggaran adalah berdasarkan penanaman penuh untuk setiap hektar tanpa selangan atau jarak tanaman (100% tanaman dalam setiap hektar).

Proses Tuaian

Tanaman dituai setiap hari dari umur 35 hari hingga ke 57 hari dengan menggunakan “forage harvester” dan juga dituai secara manual sebelum dikerat dengan “chopper”. Tiada masalah dihadapi semasa tuaian menggunakan “Forage Harvester” dari usia tanaman 35 hari hingga ke 55 hari tetapi masalah mula timbul apabila ia membelit mesin semasa umur 56 hari dan ke atas.


Penggunaan Forage Harvester dalam penuaian kenaf

Pemotongan pada aras 9-12 inci dari paras tanah mengambil masa 15-18 minit bagi memenuhkan satu bekas yang beratnya 450kg. Disebabkan kaedah penanaman secara tabur terus, dianggarkan sebanyak 30-50% kenaf rosak ditindih tayar traktor kerana ketiadaan jalan (track) atau ruang untuk pergerakan jentera. Ini dapat diatasi dengan penanaman batas dengan bukaan tanaman 3.5-4 kaki dan ruang tayar 1.5 kaki.

Bagi pemprosesan menggunakan mesin Chopper, tiada masalah dihadapi dari untuk memproses kenaf berumur 40 hari ke bawah namun masalah mula timbul pada kenaf berumur 41 hari dan ke atas. Serat yang sukar putus menyukarkan ia dikerat dan selalu membelit mata pemotong.


Penggunaan Forage Chopper untuk pemprosesan kenaf

Pemberian makanan kepada Ternakan

Dari pemerhatian, ternakan menerima baik kenaf yang telah dipotong dari usia 35 hari ke 47 hari. Selepas itu, penerimaan berkurangan dipercayai kerana kandungan serat yang agak tinggi dan menyukarkan penghadaman.

Jika diberikan keseluruhan batang kenaf kepada ternakan, ia akan memakan bahagian daun sahaja dan bahagian batang yang liat akan ditinggalkan. Jika kenaf itu dihancurkan/dimesin terlebih dahulu, ternakan tidak akan memilih dan akan makan kesemuanya.

Satu pemerhatian hasil dari sembelihan seekor lembu yang telah memakan kenaf mendapati gumpalan serat dari kenaf dijumpai di bahagian omasum (perut kitab) dimana sepatutnya tidak berlaku jika proses penghadaman berjalan secara normal. Disyorkan kenaf yang muda dari umur 40 hari ke bawah digunakan supaya ternakan dapat menghadam dengan lebih baik.

Ujian Nutrisi dan Makmal

Hasil dari ujian kandungan nutrisi yang dijalankan makmal di Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh mendapati kandungan protein kasar berada pada 17% untuk varieti KB6. Kadar ini sangat sesuai untuk ternakan ruminan dan mampu memenuhi keperluan harian ternakan tersebut.


Perbandingan Antara Tanaman
Kriteria
JAGUNG
KENAF
NAPIER
Kg Benih per Ha
15
17
1186
Kos Benih
RM703/Ha
RM272.00/Ha
RM948.80/Ha
Persediaan Tanah
RM623.25
RM623.25
RM623.25
Hasil/pusingan
20-35 MT/pusingan
16.4MT/pusingan
19.4MT/pusingan
Pusingan Tuaian
1 Pusingan Shj
1 Pusingan Shj
6 Pusingan sehingga 3 tahun
Jangkamasa Tuai
60-75 hari
37-45 hari
42-60 hari

Kelebihan kenaf adalah kos penanamannya seperti kos benih per hektar adalah lebih murah selain jangkamasa tuaian yang lebih cepat berbanding tanaman jagung dan napier. Namun, jika mengambilkira kos jangka panjang, napier didapati lebih murah diikuti kenaf dan jagung adalah yang termahal.
 Hasil pengeluaran bagi setiap pusingan tanaman kenaf agak rendah berbanding jagung atau napier.  Ini mengambilkira jarak tanaman dan penggunaan ruang tanaman sebanyak 60% untuk tuaian menggunakan jentera “Forage Harvester”.
Dari aspek kebolehtuaian tanaman, kenaf mesti dituai dalam ruang masa (time frame) 9-10 hari sebelum ia menjadi terlalu liat untuk mesin atau jentera. Ini menyebabkan kekangan atau kekurangan fleksibiliti untuk menyimpan tanaman di padang untuk kegunaan ternakan pada masa ia diperlukan. Mengambil contoh napier, ia boleh dibiarkan dalam padang sehingga tiga bulan dan masih boleh dimakan oleh ternakan tanpa mengambilkira kandungan nutrien dalam makanan tersebut.

Rumusan
Kenaf berpontensi untuk dijadikan makanan ternakan dengan beberapa syarat berikut:
1.       Tanaman dituai dalam tempoh seawal 35 hari bagi memastikan ia dapat dihadam dengan lebih cekap.
2.       Pemprosesan lanjut seperti dibuat pellet atau campuran dalam bentuk serbuk ke dalam rangsum ternakan.
3.       Menggunakan varieti khusus untuk makanan ternakan.