Laporan Pengeluaran bahan makanan ternakan melalui penggunaan Pembancuh Makanan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia
Laka Temin Silaj Sdn Bhd telah menerima Pembancuh Makanan (Mixer) berkapasiti 500kg dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 9 Mac 2011. Ia mula digunakan pada awal April selepas formulasi makanan dapat dirumuskan untuk memenuhi keperluan nutrisi ternakan. Produk utama yang dihasilkan adalah Total Mixed Ration (TMR) dan silaj cip ubi kayu (CCS).
Gambar 1: Mixer dipindahkan pada hari ia diterima dan diletakkan di kilang ubi kayu
Jumlah pengeluaran kesemua produk mengikut bulan dihasilkan adalah seperti berikut:
Bulan | Pengeluaran (kg) |
April | 3027.0 |
Mei | 730.5 |
Jun | 3718.5 |
Julai* | 2295.0 |
Jumlah | 9771.0 |
*bagi bulan Julai, pengeluaran adalah sehingga 16hb.
Jadual 1: Pengeluaran produk mengikut bulan
Graf 1: Pengeluaran Bulanan April-Julai 2011
Penerangan
Pengeluaran pada Mei berkurangan kerana bahan mentah utama iaitu ubi kayu sukar dituai kerana keadaan cuaca yang sentiasa hujan pada bulan tersebut. Sasaran bagi bulan Julai adalah untuk menghasilkan sekitar 10MT untuk kegunaan ladang sendiri selain untuk jualan kepada penternak lembu fidlot atau tenusu. Selain daripada silaj cip ubi kayu sebagai makanan lembu, kami juga bercadang untuk membancuh makanan ternakan ayam (grower mix) bagi projek ternakan ayam kampong di Ladang Laka Temin.
Gambar 2: Pekerja memasukkan bahan ke dalam mesin penggaul
Kelebihan Mesin
- Bahan makanan yang dihasilkan adalah bercampur dalam keadaan sekata (homogenous) dan setiap bancuhan adalah standard tanpa sebarang perbezaan ketara.
- Masa campuran lebih cepat (sekitar 2 minit selepas bahan terakhir dimasukkan)
- Menjimatkan penggunaan tenaga buruh berbanding menggaul secara konvensional
Kekurangan Mesin
- Had bancuhan yang rendah sekitar 100-120kg per bancuhan menghadkan pengeluaran
- Kekuatan “mixer” untuk menggaul bahan makanan basah berkurangan disebabkan keupayaan motor yang rendah
- Bukaan “outlet” yang kecil hanya membenarkan bahan campuran bersaiz kurang dari 5cm untuk keluar dengan lancar. Saiz yang lebih besar akan menyebabkan “outlet” tersumbat
- Struktur bilah “mixer” tidak membolehkan penambahan serat-serat seperti “chopped napier” atau “chopped leucaena leaf”. Penambahan bahan-bahan seperti itu akan menyebabkan ia terlekat di celah mata bilah dan sekaligus campuran yang dihasilkan menjadi tidak sekata
Gambar 3: Campuran silaj cip ubi kayu yang dikeluarkan melalui “outlet
Rumusan
Penggunaan Penggaul Makanan ini dapat menyumbang kepada peningkatan pengeluaran bahan makanan di ladang. Selain itu, ia dapat membantu mewujudkan bahan makanan baharu untuk ternakan yang lebih seimbang dan menepati keperluan ternakan.
No comments:
Post a Comment